Tokoh Falsafah: Bertrand Russel


  • Zaman moden kini kaya dengan kemajuan dalam pelbagai bidang dan arus kemajuan itu pastinya bermula dari pengetahuan dan kesedaran yang tinggi dalam diri setiap individu. Dan pengetahuan itu pula apabila digabungkan dengan penggunaan akal yang maksima pastinya dapat membentuk insan yang cintakan hikmah.
    Namun, kemodenan bukanlah satu-satunya pemangkin ke arah pembentukan insan berilmu kerana sebelum tibanya era moden ini, pada zaman dahulu kita sudah pun mempunyai ramai tokoh yang mahir dalam bidang falsafah. Mereka adalah insan yang mencetuskan banyak idea-idea bernas dengan gaya pemikiran dan pendapat yang hebat biarpun dalam sesetengah isu mereka berbeza pendapat.
    Bertrand Russell ialah salah seorang tokoh falsafah yang terkenal sebagai ahli falsafah, matematik, logikisme, politik dan sumbangan terbesar adalah dalam bidang logik matematik. Pemikiran beliau kebanyakannya berpandukan pada logik akal. Di dalam kajian ini, pengkaji telah pun mengkaji biografi, karya, pemikiran dan pendapat-pendapat Bertrand Russell.
    RIWAYAT HIDUP                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
               
       
    Nama sebenar Bertrand Russell ialah Bertrand Arthur Williams Russell. Beliau telah dilahirkan pada 18 Mei 1872 di Trelleck, Wales (Donald C. Abel: )dan meninggal dunia pada umur 97 tahun. Beliau merupakan putera kepada Viscount Amberly dan Katherine. Ketika beliau berumur dua tahun, ibunya telah meninggal dunia (1874) , manakala bapanya pula meninggal dunia ketika beliau berumur empat tahun (1876). Semasa hayat, bapanya telah berwasiat untuk menyerahkan beliau dan abangnya kepada  teman rapatnya namun mahkamah telah memutuskan hak penjagaan kepada nenek dan datuknya.
    Datuk beliau adalah seorang negarawan dan mati pada tahun 1878. akhirnya beliau dan abangnya telah dijaga, diasuh dan diberi pendidikan oleh neneknya iaitu Lady Russell. (Robert E.Egner : 1992)
     Zaman Kanak-kanak
    Bertrand Russell tidak pernah mendapat pengalaman belajar ke sekolah berasrama kerana tidak mendapat keizinan neneknya Oleh itu, guru-guru yang terbaik telah dijemput untuk mengajarnya secara privasi di rumah.(E.Baird dan Walter Kaufmann : 1994) Di rumah neneknya, terdapat satu bilik yang menempatkan perpustakaan mini milik mendiang datuknya. Beliau menjadikan bilik itu sebagai kelas untuk mengulang kaji pelajaran. Bilik tersebut dipenuhi dengan pelbagai koleksi buku-buku sejarah yang telah banyak mengubah cara pemikiran beliau.
    Antara buku tersebut ialah  L’Art de verifier les date, The Annals of Ireland by the Four Masters. Pada ketika itu beliau merasakan buku-buku itu sangat berat untuk dibaca bagi kanak-kanak seusia beliau. Walaubagaimanapun, ia berhasil meransang minatnya untuk mendalami sejarah kerana beliau juga berasal daripada keluarga yang sangat berpengaruh dalam sejarah Inggeris pada awal abad keenam .(Robert E.Egner : 1992)
     Zaman Remaja dan Dewasa
    Ketika beliau berumur sebelas tahun, kecenderungan dan minat beliau terhadap ilmu matematik bermula ketika beliau kecewa kerana gagal menjawab soalan yang diberi. Atas faktor emosi ini telah menarik minat beliau untuk mendalami dan mempelajari ilmu berkaitan matematik seperti prinsip dan undang-undang matematik.
    Walaupun diakui bahawa minatnya itu merupakan sesuatu yang kompleks kerana ia memerlukan teknik yang tertentu, serta perlu menguasai teknik penaakulan kepada suatu jawapan. Beliau berpendapat bahawa alam ini beroperasi mengikut prinsip matematik dan tindakan manusia serta pergerakan planet ini juga boleh dikira jika mempunyai kemahiran dan teknik yang cukup. (Robert E.Egner : 1992)
    Kemudian pada tahun 1890, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge manakala abangnya menyambung pelajaran ke Universiti Oxford.(George Allen dan Unwin : 1978) Beliau sangat gembira ketika zaman universitinya dan telah menjadi seorang yang berjaya, serta disenangi rakan-rakan termasuklah rakan karibnya ketika itu iaitu G.E Moore (1873-1958) yang juga salah seorang ahli falsafah yang terkenal. Di Cambridge beliau gemar berdiskusi mengenai hal falsafah, etika, politik dan juga hal hal yang membolehkan manusia bebas melontarkan pandangan dan pendapat. Tempoh tiga tahun yang pertama di Cambridge, beliau sangat sibuk dengan hal berkaitan matematik seiring dengan kecenderungan beliau dalam bidang itu. Kemudian, beliau mula fokus dalam bidang falsafah ketika berada di tahun empat di Cambridge dan mempelajarinya daripada kalangan ahli falsafah terkenal seperti Henry Sidgwick, James Ward dan G.F Stout. (Robert E.Egner : 1992)
    Setelah berjaya menamatkan pengajian dari Universiti Cambridge,  Desember 1894, Russell menikah dengan Alys Pearsal Smith. Lalu dia pergi ke Berlin, Jerman. Untuk mendalami demokrasi social selama beberapa bulan. Setelah itu, dia menetap di Haslemere dan mencurahkan waktunya untuk mempelajari falsafah
    KARYA-KARYANYA
    Sebagai seorang tokoh yang sangat penting dan telah banyak memberi sumbangan idea dalam bidang pemikiran, sudah tentu banyak buku dan karya yang ditulis oleh beliau. Antara buku hasil tulisan beliau ialah A.B.C of Relativity, Analysis of Matter, New Hopes for a Changing World, The Impact of Science on Society, Authority and the Individual, Human Knowledge: Its scope and Limit, History of Western Philosophy, The Principle of Mathematics, Introduction to Mathematical Philosophy, The Analysis of Mind, Our Knowledge of the External World, An outline of Philosophy, The Philosophy of Leibniz, An Inquiry into Meaning and Truth, Philosophical Essays, Fact and Fiction, My Philosophical Development, Portraits from Memory, Why I am not Christian, Unpopular Essays, Power, In Praise of Idleness, The Conquest of Happiness, Sceptical Essays, Mysticism and Logic, The Scientific Outlook, Marriage and Morals, Education and the Social Order On Education, Has Man a Future, Political Ideals, Prospects of Industrial Civilization, Unarmed Victory dan banyak lagi (George Allen dan Unwin : 1978)
    KARYA TERKENAL
    Permasalahan Falsafah oleh Bertrand Russell
    Buku tulisan beliau yang menjadi perhatian ialah Permasalahan Falsafah (The Problems of Philosophy. Beliau menyifatkan buku ini umpama sebuah buku kecil yang murah dan ditulis untuk bacaan umum. Buku ini telah ditulis pada tahun 1911 dan diterbitkan pada tahun 1912. Kebanyakkan buku-buku falsafah lebih cenderung mengisahkan teori dan pendapat serta sumbangan ahli falsafah yang lain, tetapi Russell mempunyai pandangan yang berbeza kerana buku ini ditulis supaya masyarakat dapat mengetahui definisi sebenar falsafah, nilai dalam falsafah dan masalah yang wujud dalam perbincangan mengenai falsafah. Beliau mempunyai sebab yang konkrit mengapa tajuk “Permasalahan Falsafah” dipilih sebagai judul bagi tulisannya kerana perkataan ‘masalah’ itu sangat berhubung dengan matematik. Beliau berpendapat bahawa setiap masalah matematik itu mesti diselesaikan dan pasti ada jalan penyelesaian. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau menitikberatkan kesejajaran idea dalam menyokong sesuatu perkara.
    Perkara yang dibincangkan dalam buku ini adalah berkaitan keberkesanan dalam mencari penyelesaian. Ramai ahli falsafah sering membincangkan dan memikirkan perkara-perkara metafizik yakni perkara yang sukar digapai oleh akal manusia. Russell berkata mencari jawapan bagi persoalan metafizik adalah suatu harapan yang sia-sia. Kerana falsafah itu sendiri tidak akan memberi jawapan yang mudah untuk setiap persoalan Beliau juga mengatakan bahawa kadangkala soalan yang diutarakan oleh ahli falsafah itu sendiri tidak mempunyai jawapan yang khusus untuk setiap persoalan. Tetapi itu tidak bermakna ahli falsafah dan ilmu falsafah ini suatu yang dikira membuang masa kerana dengan soalan soalan yang timbul kadangkala membuatkan hidup dan alam  itu lebih menarik untuk diterokai.
    Selain itu, beliau turut menjelaskan permasalahan perbezaan ilmu sains dan falsafah. Manusia juga perlu tahu bahawa ilmu falsafah dan ilmu sains itu merupakan dua ilmu yang berbeza.
    Menurut beliau, ilmu sains itu berguna dan memberi faedah kepada manusia seperti ilmu-ilmu perubatan, sains teknologi dan sebagainya walaupun tidak semua manusia mempelajarinya tetapi semua orang berpotensi untuk mendapat faedah daripadanya.
    Berlainan pula dengan ilmu falsafah, mempelajari ilmu ini akan memberi kesan yang mendalam kepada mereka yang mendalami perkara atau isu yang dibincangkan atau difikirkan berbanding dengan mereka yang tidak mempelajari falsafah kerana mereka tidak menerima kesan secara langsung.
    Permasalahan lain yang turut menjadi topik perbincangan dalam buku tersebut adalah hal berkaitan nilai falsafah. Beliau mengatakan bahawa nilai sebenar kepada falsafah itu adalah terletak kepada ketidaktentuan. Misalnya, jika seseorang tidak pernah mempersoalkan kepercayaannya, maka dia boleh bergantung kepada prasangaka yang tidak perlu tertakluk kepada penilaian kritikal. Dalam erti kata yang lain ialah sekiranya seseorang tidak melontarkan persoalan atau perkara yang difikirkan kepada sesuatu yang boleh menjawab persoalannya itu, dia boleh untuk terus bergantung dengan apa yang dipercayai atau disangkanya itu tanpa perlu memikirkan dengan mendalam tentang penyelesaian kepada persoalannya itu . Walaubagaimanapun, jika seseorang itu berjaya merungkai persoalan dengan pendekatan falsafah maka seseorang itu bebas daripada kezaliman adat ataupun disebut dengan istilah ‘tyranny of custom’.
    Buku ini turut mengupas permasalahan berkaitan ilmu pengetahuan yang disebut sebagai ‘knowledge by acquaintance and by description’. Menurut beliau, pengetahuan manusia adalah bersumberkan samada dari pengalaman terus ataupun daripada deskripsi sesuatu perkara. Beliau berfikiran bahawa pengetahuan melalui acquaintance  ini adalah asas kepada semua ilmu pengetahuan kerana ia melibatkan kesedaran secara langsung tentang sesuatu yang kita tahu. Berbeza pula dengan ilmu pengetahuan melalui deskripsi.
     Ia suatu ilmu pengetahuan yang menjangkau batas ilmu acquaintance . Ataupun lebih kepada ilmu pengetahuan yang kita tidak perolehi secara langsung, ianya mungkin diperoleh melalui bacaan dan sebagainya. Contoh, jika seseorang itu tidak pernah pergi ke negara Australia tetapi tahu bahawa Canberra ialah salah satu bandar dalam negara itu.
    Jadi menurut Russell, manusia tidak perlu terlalu bergantung  kepada ilmu pengetahuan yang lebih bersifat ‘direct knowledge’, memadai dengan hanya kita bermaklumat dengan sesuatu perkara tersebut.
    PENDAPAT DAN PEMIKIRAN BERTRAND RUSSELL
    Mengenai sains dan agama


    Russel memandang sains sebagai upaya untuk memahami dunia pengalaman melalui hukum atau undang-undang yang tak terputus-putus (unbroken law), dan agama baginya, merupakan sebuah fenomena yang kompleks dengan dakwaan-dakwaan mengenai hal-hal yang dianggap mutlak. Menurut Russell, agama dan sains telah lama terlibat dan wujud dalam perang. Dengan matinya agama, maka hilanglah tahyul, penindasan dan kebencian. Dengan keberhasilan sains, datanglah pemahaman dan kebebasan serta cinta kasih. “Sebahagian konflik-konflik yang lebih menonjol antara para teologi dan para ilmuan selama empat abad terakhir, dan kita telah berusaha menilai hubungan antara sains masa-sekarang dengan teologi masa-sekarang. (Al-Seckel : 1986)

    Kita telah melihat bahawa, bila-bila sahaja sains dan teologi mengalami ketidaksepakatan, sains terbukti menang. Kita juga telah melihat bahawa, di mana persoalan-persoalan praktis dilibatkan, seperti dalam perdukunan dan perubatan, sains ternyata berhasil mempertahankan usaha mengurangi penderitaan manusia, sementara teologi telah mendorong kekejaman alami manusia. Penyebaran pandangan ilmiah, sebagaimana yang ditentang dalam pandangan teologis, tak dapat disangkal selama ini telah berguna bagi kebahagiaan manusia. (Al-Seckel : 1986)
     Mengenai logik sebagai keperluan falsafah
    Permasalahan yang selama ini dihadapi oleh ahli falsafah menurut Russell adalah kerana para ahli falsafah terlalu berlebihan dan selalu berusaha untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Walaupun keadaan ini tidak mungkin boleh dicapai kerana para ahli falsafah yang ada selama ini kurang tepat melihat permasalahan falsafah dan kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengatasi permasalahan falsafah.
    Menurut Russell permasalahan-permasalahan falsafah dan kaedah-kaedah falsafah selama ini tidak mudah untuk difahami atau dirumuskan oleh pusat-pusat ilmu yang ada, banyak permasalahan-permasalahan tradisional yang belum dapat diselesaikan oleh pengetahuan yang ada sekarang. Bahkan ada beberapa permasalahan yang sudah mulai dilupakan namun sebenarnya masih boleh diselesaikan melalui kaedah-kaedah yang tepat dengan tingkat pengetahuan yang lebih maju.(Bertrand Russell : 1972)
    Dalam merumuskan permasalahan ini, Russell cuba membahaginya ke dalam 3 jenis bahagian yang besar iaitu,
    1. Jenis pertama disebut sebagai jenis tradisional klasik yang diwakili oleh pemikiran Kant dan Hegel, jenis ini menekankan pada kecenderungan untuk mengadaptasi penyelesaian masalah yang terjadi sekarang dengan kaedah-kaedah dan hasil-hasil yang telah dicapai pada zaman Plato dan lainnya. Pada jenis Tradisional Klasik perhatian utamanya adalah para ahli falsafah Yunani menekankan rasio sebagai perhatian utamanya. Kaedah deduksi apriori digunakan dalam jenis ini untuk mengkaji fenomena yang ada. Semua realiti adalah suatu kesatuan dan tidak ada perubahan. Deria yang ada dalam dunia merupakan ilusi. Keganjilan daripada hasil yang diperoleh oleh para ahli falsafah tidak membuat mereka merasa cemas kerana bagi mereka rasio merupakan satu-satunya cara yang sahih. Ketika para ahli falsafah yang mereka jadikan ikutan telah meninggal, maka ajaran mereka terus dipertahankan dengan menggunakan kekuasaan, tradisi, kekuatan hukum dan juga kekuatan yang selama ini masih ada iaitu autoriti agama. Di Barat, rasio apriori ini digunakan untuk mengungkapkan rahsia tentang dunia dan dapat membuktikan kenyataan seperti apa yang di tampakkan. Logik dalam jenis Tradisional Klasik ini dibina melalui proses penafian. Dunia dibentuk oleh logik dan ditambah dengan pengalaman. Dunia, menurut jenis ini, merupakan ”organic unity”, dimana bahagian-bahagiannya yang berbeza bergabung menjadi satu dan bekerja sama kerana mereka sedar bahawa mereka berada dalam satu tempat yang sama sebagai satu kesatuan. Intinya jenis ini merupakan penggabungan antara pemikiran Yunani yang menekankan pada rasio dan abad pertengahan yang menekankan pada kesempurnaan alam semesta.
    2.  Jenis kedua adalah Evolusionisme, yang dimulai dari pemikiran Darwin hingga Herbert Spencer. Namun, pada perkembangan selanjutnya didominasi oleh pemikiran William James dan M Bergson. Mengikut jenis Evolusionisme, percaya pada dirinya yang mendasarkan pada ilmu pengetahuan, sebuah pembebasan dari harapan-harapan, memberikan inspirasi dalam menghidupkan kembali kekuatan manusia. Evolusionisme ini sebenarnya bukan ilmu pengetahuan, dan juga bukan kaedah untuk mengatasi masalah. Falsafah ilmiah yang sesungguhnya adalah suatu yang lebih kuat, menbuka harapan-harapan tentang keduniaan dan memerlukan beberapa disiplin supaya berhasil dalam mempraktikkannya. Logik, matematik, fizik hilang dalam jenis ini disebabkan kerana mereka terlalu statik. Apa yang nyata adalah sesuatu yang mendesak dan bergerak menuju pada satu tujuan. Hal yang paling penting dalam jenis Evolusionisme adalah pertanyaan tentang tujuan manusia atau setidaknya tentang tujuan hidup manusia. Evolusionisme lebih tertarik pada moraliti dan kebahagiaan daripada pengetahuan semata-mata. Pada awalnya Russell sudah mulai menampakkan penyerangan terhadap idealisme dengan memihak pada akal sihat (common sense) dan ia lebih menekankan pada analisis logik. Kemudian Russell sudah mulai beralih kepada ilmu pengetahuan, maksudnya adalah dalam berfalsafah atau dalam mengatasi permasalahan falsafah harus berpandukan pada ilmu pengetahuan yang ketat dan kritis.
    3.  Jenis ketiga adalah yang disebut sebagai Logik Atomisme, yang melihat falsafah melalui kaedah kritis matematik. Logik Atomisme ini mempunyai tujuan untuk mengupas dengan jelas struktur hakiki bahasa dan dunia. Tujuan ini dicapai melalui analisis. Menurut Russell falsafah bertugas menganalisa fakta-fakta. Falsafah harus melukiskan jenis-jenis fakta yang ada. Proposisi-proposisi merupakan symbol. Dimana suatu proposisi terdiri dari kata-kata, yang menunjukkan kepada data inderawi (sense-data) dan universal (universal), iaitu ciri-ciri atau kaitan-kaitan. Ada yang disebut proposisi atomis, dimana proposisi ini sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur majmuk. Suatu proposisi atomis mengungkapkan suatu fakta atomis. Dengan demikian Russell menyimpulkan bahawa bahasa sepadan dengan dunia. Dengan kata lain melalui bahassa kita dapat menemukan fakta-fakta. Menurut Russell bahasa menggambarkan realiti. Namun bahasa yang beliau maksudkan adalah bahasa sempurna, yang terlepas daripada dua makna dan kekaburan, iaitu bahasa logik yang dirumuskan dalam principia mathematica. Dengan proposisi-proposisi atomis kita dapat membentuk suatu proposisi majmuk, misalnya dengan menggunakan proposisi-proposisi atomis kita dapat membentuk suatu proposisi majmuk, misalnya dengan menggunakan kata ”dan” atau ”atau”. Yang dihasilkan adalah suatu proposisi molekuler (molecular proposition). Tetapi tidak ada fakta molekuler yang hanya menunjuk pada fakta-fakta atomis. Kebenaran atau ketidakbenaran suatu proposisi molekuler bergantung pada kebenaran atau ketidakbenaran proposisi-proposisi atomis yang terdapat di dalamnya. Perkataan Russell adalah ”molecular proposition are truth-function’s of propositions. Russell sadar bahwa dalam argumennya ini juga ada beberapa kelemahan yang masih dapat dihindari, hal ini ditunjukkan bahwa bagi Russell masih ada fakta umum. Seperti pernyataan-pernyataan umum yang tidak harus dibentuk oleh proposisi atomis seperti semua orang akan mati, dari proposisi ini pernyataan ini benar kerana bukan terdiri dari serangkaian fakta-fakta atomis tetapi proposisi ini benar kerana adanya fakta umum yang berlaku benar. Hal kedua Russell juga mengakui adanya fakta-fakta negatif, kerana itulah satu-satunya cara untuk menerangkan kebenaran dan ketidakbenaran proposisi-proposisi negatif. Dan terakhir Russell harus mengakui adanya fakta-fakta khusus yang lebih mengacu pada suatu kepercayaan atau suatu fakta psikis (mental fact).
    Mengenai Logikisme
    Sejarah Perkembangan Awal Logikisme
    Logikisme merupakan salah satu daripada aliran pemikiran (schools of thought) di dalam falsafah matematik. Logikisme ialah teori falsafah mengenai status sesuatu kebenaran dalam matematik iaitu sama ada bersifat logik atau analisis. Ia menyatakan teori iaitu matematik sebagai pengembangan kepada logik yang mana sebilangan atau semua unsur matematik juga boleh diturunkan kepada logik.  Logik berasal daripada perkataan Greek iaitu logos yang bermaksud fikiran, idea, hujah, alasan atau prinsip. 
    Menurut logikisme, matematik itu bersifat a priori atau matematik sering dipandang sebagai paradigma pengetahuan a priori, iaitu pengetahuan yang mendahului dan bebas daripada pengalaman. Matematik itu sendiri tidak berdasarkan pada sebarang pengalaman atas kejadian yang nyata di alam ini. Konsep-konsep dan objek-objek matematik boleh didefinisikan dalam terminologi logik. Dengan definisi-definisi ini, teorem-teorem dalam matematik dapat diperolehi daripada prinsip-prinsip logik. Jadi menurut sudut pandangan ini, kebenaran matematik harus berdasarkan pada logik dan semua pernyataan matematik memerlukan kebenaran logik. (Ronald Jagger : 1972)
    Ringkasnya, hakikat matematik adalah logik. Kemunculan logikisme adalah disebabkan ahli matematik tidak mahu menerima anggapan bahawa semua masalah matematik ialah masalah agama. Mereka mahu keluar daripada belenggu keagamaan dan mula mengutarakan pandangan bahawa kebenaran adalah sepatutnya berasaskan prinsip-prinsip logik. Kebenaran harus diperoleh melalui tatakaedah pemikiran dan bukannya melalui kaedah empirik. Kaedah empirik hanya menghasilkan teorem yang berubah-ubah mengikut peredaran zaman tetapi pernyataan logik adalah sentiasa benar.  Ahli matematik tahu bahawa pernyataan ialah sesuatu ayat yang sama ada benar atau palsu. Contoh pernyataan ialah ‘sama ada hari ini hujan atau tidak’; jika semua A ialah B, maka setiap A ialah B dan semua A sama dengan A. (Ronald Jagger : 1972)
     Logikisme Russell dan Whitehead
     Konsep ‘set yang mengandungi kesemua set’ ialah konsep yang sangat mengelirukan.  Set mengandungi unsur - unsur. Contohnya, set A ialah set yang mengandungi ‘semua katalog’.  Set A itu sendiri juga merupakan sebuah katalog, iaitu sebuah katalog yang mempunyai senarai katalog-katalog. Akan tetapi, bagi set B, katakan set yang mengandungi ‘semua binatang’. Set B bukannya seekor binatang.
    Russell memberikan contoh antinomi ini dengan contoh yang menarik yang dikenali sebagai ‘paradoks Russell’ dalam tahun 1918.  Paradoks ini juga dikenali sebagai paradoks tukang gunting rambut.  Menurut paradoks ini, dalam sebuah kampung, hanya ada seorang tukang gunting.  Tukang gunting ini hanya menggunting rambut mereka yang tidak menggunting rambut mereka sendiri. Ini adalah kenyataan umum kerana sekiranya kita menggunting rambut sendiri, ia akan menjadi tidak sempurna.  Persoalannya, siapa yang menggunting rambut tukang gunting itu? Kalau tukang gunting itu menggunting rambutnya sendiri, menurut definisinya ‘beliau hanya menggunting rambut mereka yang tidak menggunting rambut sendiri’.  Jadi sebagai tukang gunting, beliau tidak boleh menggunting rambut ‘orang yang menggunting rambutnya sendiri’.  Tetapi jika beliau tidak menggunting rambutnya sendiri, beliau layak untuk digunting oleh tukang gunting iaitu dirinya sendiri. Konsep ini sungguh membingungkan.  Ada ‘penyelesaian’ lain yang cuba diberikan seperti tukang gunting itu seorang yang botak.  Ini tidak menyelesaikan masalah kerana senantiasa ada tukang gunting yang tidak botak. Sesungguhnya, paradoks Russell ini mempunyai kesan yang mendalam terhadap penyelidikan tentang hakikat matematik.
    Russell kemudiannya memperincikan program logikisme bersama-sama dengan rakannya, Alfred North Whitehead (1861-1947) lalu menghasilkan buku Principa Mathematica (1910-1913) yang menjadi kitab rujukan utama selepas Frege. Antara persoalan yang mereka ingin tangani ialah untuk mengenal pasti tatacara kebenaran suatu premis itu mengimplikasikan kebenaran premis yang lain.  Konsep implikasi yang digunakan oleh mereka ialah konsep implikasi kebendaan. Menurut konsep ini, jika U benar, maka R mesti benar atau ringkasnya, ‘Jika U, maka R’.  Premis yang palsu mengimplikasikan sebarang implikasi lain.  Contohnya, ‘ Jika g ialah nombor genap, maka 2g ialah nombor genap’.  Jika U benar, tidak mungkin R palsu.  Oleh itu, untuk sebarang nombor genap, gandaannya juga menghasilkan nombor genap.  Akan tetapi katakanlah U palsu, iaitu ‘g bukan nombor genap’ seperti nombor 3 atau 22/3. Ini akan menghasilkan kesimpulan iaitu ‘2g ialah nombor genap’ dan ‘2g bukan nombor genap.  Justeru, dengan menggunakan sesuatu sifat set untuk mendefinisikan sesuatu set, mereka berjaya mendefinisikan juga set tak terhingga kerana menurut kaedah definisi demikian, mereka tidak perlu menamakan satu per satu kesemua setiap unsur yang ada di dalam sesuatu set itu. Secara terperincinya, mereka mengemukakan ‘teori penjenisan’ untuk menangani masalah ‘set yang mengandungi kesemua set’. (Ronald Jagger : 1972)
     Mengenai agama (kewujudan Tuhan)
    Berkenaan pandangannya tentang Tuhan, Russell menyatakan bahawa beliau adalah seorang agnostik. Baginya, agnostik adalah orang yang berfikir bahawa tidak mungkin dapat mengetahui kebenaran-kebenaran dalam masalah seperti masalah tentang Tuhan dan kehidupan akhirat. Jika hal ini tidak mungkin untuk selamanya, setidaknya untuk masa sekarang.
    Agnostik berbeza dengan atheis, seseorang yang beragama meyakini bahawa Tuhan itu ada, sebaliknya atheis meyakini secara pasti bahawa Tuhan itu tidak ada. Sementara agnostik menunda pengambilan keputusan, dengan mengatakan bahawa tidak cukup bukti untuk menerima atau menolak adanya Tuhan. Dalam pandangan Russell, kewujudan Tuhan sama tidak pastinya dengan kewujudan dewa-dewa Olimpia seperti Zeus, Poseidon mahupun Hera.
    Menurut Russell persoalan mengenai kewujudan Tuhan adalah sangat luas dan serius. Baginya, masalah kewujudan Tuhan adalah masalah keyakinan dan bukan masalah akal. Sebahagian besar orang percaya kepada Tuhan kerana telah diajarkan percaya sejak kanak-kanak, selain persoalan keinginan akan keselamatan. Russell berkata bahawa sejumlah pernyataan yang menunjukkan kewujudan Tuhan seperti yang disampaikan oleh beberapa orang ahli falsafah yang bersetuju dan menyokong tentang wujudnya Tuhan adalah bersifat lemah.
    Misalnya tentang hujah Sebab Pertama. Baginya, hujah ini tidak kukuh dan lemah. Menurutnya: “Pada usia 18 tahun saya membaca autobiografi John Stuart Mill, dan saya menemui kalimah berikut: ‘Ayahku mengajarkan bahawa pertanyaan, “Siapa yang menciptakan saya?” tidak boleh dijawab kerana pertanyaan ini akan melahirkan pertanyaan yang berikutnya, “Siapa yang menciptakan Tuhan?” kalimah sederhana tersebut memperlihatkan kepada saya, seperti yang masih saya yakini, kesalahan dalam hujah Sebab Pertama. Jika segala sesuatu mempunyai sebab, maka Tuhan tentu juga harus mempunyai sebab”. Russell juga berpendapat bahawa jika Tuhan ada, tentunya Dia tidak akan membiarkan diri-Nya dihina dengan diperkotak-katikkan kewujudannya. Meskipun Russell berpendapat sedemikian rupa terhadap kewujudan Tuhan, namun beliau tetap melahirkan rasa cinta dan kasih sesama manusia dan mengharapkan dunia yang bebas daripada kebencian, ketidakadilan dan peperangan. (Ronald Jagger : 1972)
    Mengenai atomisme logis
    Russell menggunakan logik untuk menjelaskan isu berkenaan asas matematik dan beliau juga menggunakan logik untuk menjelaskan isu-isu dalam falsafah. Sebagai salah seorang pembentuk analisis falsafah, Russel banyak memberi sumbangan penting dalam pelbagai bidang misalnya metafizik, epistemologi dan politik. Menurut Russell, adalah menjadi tanggungjawab ahli falsafah untuk mencari bahasa yang tepat dan ideal, yang dapat mempamerkan alam semulajadi sebenar supaya kita tidak salah erti dengan bahasa yang biasa digunakan. Misalnya sesuatu bahasa akan mencipta gambaran atau huraian yang menggunakan kata hubung seperti ‘dan’ dan ‘atau’. (Robert Charles Marsh : 1977)
    Tambahan pula, dalam fakta-fakta molekul dan atom. Russell berpendapat bahawa fakta umum diperlukan untuk melengkapkan gambaran kehidupan dunia. Namun, beliau berasa ragu-ragu sama ada fakta negatif diperlukan atau tidak kerana Russell percaya bahawa banyak pernyataan yang diterima biasanya terdedah kepada ciri ragu-ragu kerana ia merujuk kepada hakikat yang dikenal sebagai kesimpulan daripada pemikiran. Oleh itu, pelbagai projek Russell bukan sahaja menggunakan analisis logik, tetapi juga matlamat beliau adalah untuk mengetahui sejauh mana pengetahuan dapat diterima akal. (Robert Charles Marsh : 1977)
    Respon Russell terhadap pernyataan ini adalah sebahagiannya berbentuk metafizik dan sebahagiannya adalah epistemologi. Dari segi metafizik, Russell membangunkan teori atomisme fizikal logik di mana dunia dikatakan terdiri daripada atom logik yang kompleks bersama-sama dengan ciri-cirinya tersendiri. Kemudian, atom dan ciri-cirinya akan membentuk fakta atom dan setelah kedua-dua elemen ini bergabung maka akan terbentuk pula objek kompleks yang logik. Dari segi epistemologi pula, Russell berhujah bahawa adalah penting untuk mengetahui bahawa setiap hakikat yang boleh dipersoalkan dapat dikurangkan atau kata lainnya dapat difahami dengan menggunakan istilah-istilah hakikat lain yang mana kewujudannya adalah lebih pasti. (Robert Charles Marsh : 1977)
    KESIMPULAN
    Falsafah merupakan ilmu hikmah yang merangkumi semua aspek kehidupan walaupun diakui setiap persoalan yang terlintas kadangkala tiada jawapan yang boleh merungkainya. Namun begitu ia bukanlah suatu ilmu yang boleh dinafikan sumbangannya dalam pembentukan tamadun, diri, fikiran, etika, juga dari segi politik.
    Russell melihat falsafah sebagai sesuatu cara berfikir yang tidak begitu kompleks tetapi masih boleh diterima. Sebagai contoh, pembahasan beliau berkaitan nilai membawa kita kepada kejelasan tentang pertimbangan pengetahuan atau perasaan yang akan kita jadikan sebagai acuan dalam memilih nilai yang akhirnya akan menjadi landasan kita dalam bertindak. Walaupun pertimbangan nilai mungkin dianggap ekspresi tentang perasaan atau keinginan seseorang, iaitu sesuatu yang bersifat subjektif sama ada ia nya sesuai atau tidak, relevan ataupun tidak, namun ianya tidak boleh dibiar tergantung tanpa membuat pilihan atau keputusan dan Russell menyatakan bahawa setiap pertimbangan nilai itu hendaklah  diletakkan dalam tujuan yang paling utama demi kebahagian dan kesejahteraan manusia itu sendiri.
    Pengkaji juga melihat beliau turut meletakkan keutamaan logik untuk mengakses ilmu yang ada disekeliling seperti ilmu matematik dan falsafah seperti yang dinyatakan dalam atomisme logik yang melihat respon beliau terhadap persoalan perkara-perkara metafizik. Beliau berpendapat bahawa setiap perkara perlu dijelaskan dengan logik kerana kadangkala pemikiran manusia dalam mendalami perkara dia luar fikiran adalah sesuatu yang kompleks untuk dihuraikan.
    Ringkasnya, falsafah adalah satu cabang ilmu yang penting dan juga relevan walaupun berubah tamadun dan zaman. Seperti Russell juga, beliau adalah ilmuan barat yang muncul pada abad ke dua puluh tetapi tidak menghalang beliau untuk mencetuskan satu lagi evolusi pemikiran yang membuat manusia lain juga terfikir dan mendalamai falsafah beliau. . Sama ada pemikir klasik, zaman pertengahan mahupun moden, pandangan dan pendapat serta cara berfikir masih boleh digunapakai dan dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari
    RUJUKAN
    Betrand Russell, 1964 Fifty Readings in Philosophy, Fourth Edition, Donald C. Abel, London
    Bertrand Russell, 1961 ,Routledge,The Basic Writings of  Bertrand Russell , London
    Bertrand Russell 1872-1970, Twentieth-Century Philosophy, Third Edition, Forrest E. Baird and   Walter Kaufmann, London
    Contemporary Philosophy and Its Origin, 1987, Van Nostrand Reinhold Company, Sheldon P..Peterfreund, London
    Philosophy, Third Edition, 2006, Routledge, London and NewYork
    Philosophy: The Quest for Truth, 2001, Wardsworth Publishing Company, Louis P. Pojman, London
    Robert Charles Marsh, 1977, Logic and Knowledge of Bertrand Russell, New York.
    Falsafah Dunia (World Philosophies), 2009  Ninian Smart, Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur
    The Autobiography of Bertand Russell 1872-1914, 1967, George Allen and Unwin, London